Seorang lagi AJK Umno Bahagian Ketereh sertai PAS
KETEREH, 23 Julai (Hrkh) – Kepemimpinan Dato’ Seri Annuar Musa sekali lagi menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anggota jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Ketereh meninggalkan parti itu.
Sehingga kini empat AJK Umno Ketereh yang dimulai Hussin Mat meletak jawatan, dan mengisytiharkan menyertai PAS.
Malam tadi AJK Umno Bahagian Ketereh, Abdul Manaf Abdullah menyerah borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa pada satu program ceramah yang diadakan di Kedai Kok Lanas.
Image Beliau mula menyertai Umno pada 1976. Pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Kok Lanas. Pernah juga memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian Kok Lanas.
Jawatan lain yang pernah disandangnya termasuk Ketua Cawangan Umno Kok Lanas, Ketua Penerangan Dun Kok Lanas dan Penyelaras Zon Peti Undi Kok Lanas dan Kem Desa Pahlawan.
Abdul Manaf berkata, beliau secara sukarela meninggalkan parti itu kerana perjuangan yang dilaungkan untuk bangsa, agama dan negara ternyata tidak berjaya dilaksanakan sehingga sekarang.
“Jangka masa 50 tahun memerintah merupakan satu masa yang panjang bagi sesebuah kerajaan. Namun agenda untuk mendaulatkan agama, bangsa dan negara tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut.
Namun apa yang berlaku sekarang katanya, keadaan sebaliknya pula di mana remaja Melayu semakin rosak akhlaknya dan agama Islam dibiarkan kerajaan terus dicabar.
0 comments:
Post a Comment