Monday, October 1, 2007

Tidak Perlu Boikot Pilihan Raya Umum, Kata Timbalan Presiden Keadilan

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) - Pembangkang tidak perlu memboikot pilihan raya umum akan datang melainkan ada perubahan "mood" rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali.

Beliau berkata sehingga hari ini rakyat negara ini masih percaya bahawa pilihan raya adalah cara untuk memilih kerajaan.

"Orang masih percaya kepada pilihan raya. Kita mesti berhati-hati sebelum membuat keputusan (untuk memboikot pilihan raya) terutamanya pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Meja Bulat Nasional: Demokrasi dan Pilihan Raya di sini Sabtu.

Persidangan anjuran Gabungan Untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu disertai wakil parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, Syed Husin mempertahankan keputusan Keadilan memboikot pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang bulan lepas.

Beliau berkata langkah itu adalah tepat dalam usaha memberitahu rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil.

Di sebalik tindakan itu dan beberapa usaha pembangkang untuk mempengaruhi pengundi di situ, Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya kecil itu, mengalahkan calon Bebas dengan majoriti 5,857 undi. Calon Bebas yang memperoleh 419 undi, hilang wang pertaruhan.

Di Kota Baharu pada 31 Jan lepas, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti pembangkang itu mungkin memboikot pilihan raya umum akan datang sekiranya tindakan tegas tidak diambil dalam memperbetulkan apa yang disifatkannya sebagai kelemahan Akta Pilihan Raya sekarang.

Ditanya pemberita bagaimana menentukan "mood" rakyat pada pilihan raya umum akan datang, Syed Husin berkata: "Kita akan memantau perkembangannya melalui kehadiran pada ceramah yang kita anjur."

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata tindakan memboikot pilihan raya DUN Batu Talam baru-baru ini dianggap berjaya.

"Tetapi ia akan lebih berkesan jika maklumat mengenai tindakan itu disampaikan dengan jelas. Orang tempatan tidak faham apa itu boikot.

"Antara pemimpin sendiri pun bercanggah pendapat. Sama ada boleh atau tidak untuk keluar mengundi," katanya.

Yang turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008