Tuesday, October 2, 2007

Pejabat Exco Kelantan diceroboh lagi

KOTA BHARU, 24 Julai (Hrkh) – Ceroboh lagi. Apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan di Kota Darulnaim, apabila berlaku lagi pecah masuk pejabat anggota Exco kerajaan negeri.

Hairan. Tahun ini sahaja sudah dua kali kejadian serupa berlaku. Malah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Jun lalu, isu menceroboh masuk ke pejabat Exco digegerkan. Ada Adun mencadangkan supaya dipasang CCTV.

Namun sehingga ke hari belum pun kelihatan CCTV dipasang. Nampaknya, isu ini seperti tidak selesai. Di mana silapnya.

Pegawai Khas kepada Exco terbabit, Mohamed Zainal Abidin Hussin berkata, kejadian itu disedari salah seorang kakitangan apabila mendapati pintu pejabat Dato’ Takiyuddin Hassan tidak berkunci ketika datang ke pejabat pagi tadi.

“Selain itu didapati ada kesan geledah seperti mencari sesuatu. Manakala fail dan barangan lain berselerak atas lantai. Selain itu almari serta laci meja dalam keadaan berselerak,” katanya ketika ditemui di sini.

Kata beliau turut terdapat kesan-kesan geledah di pejabatnya sendiri yang terletak bersebelahan dengan pejabat Exco terbabit dan meja kepunyaan pembantu khas Exco, Nik Norma Nik Daud.

Katanya, keadaan berselerak juga berlaku di meja Nik Norma. Bagaimanapun hairannya meja pembantu pejabat kepada seorang lagi anggota Exco, Dato’ Husam Musa tidak diusik.

Menurutnya berdasar kepada penelitian awal tidak terdapat barangan berharga hilang, malah komputer riba, kamera video tidak diambil penceroboh.

“Ini menimbulkan keraguan apakah motif sebenar pencerobohan dilakukan,” ujarnya. Kata beliau percerohan itu dipercayai berlaku malam tadi.

“Walau bagaimanapun masih belum dipastikan sama ada terdapat kehilangan dokumen penting memandangkan Exco terbabit ketika ini berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Seminar Emas Dinar Antarabangsa,” katanya.

Menurutnya laporan polis telah dibuat Nik Norma di ibu pejabat Polis Daerah Kota Bharu, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sebelum ini Sabtu lalu, pejabat Takiyuddin di Bunut Payung juga dimasuki pencuri di mana empat komputer dan beberapa barangan berharga lain didapati hilang.

Seorang lagi AJK Umno Bahagian Ketereh sertai PAS

KETEREH, 23 Julai (Hrkh) – Kepemimpinan Dato’ Seri Annuar Musa sekali lagi menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anggota jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Ketereh meninggalkan parti itu.

Sehingga kini empat AJK Umno Ketereh yang dimulai Hussin Mat meletak jawatan, dan mengisytiharkan menyertai PAS.

Malam tadi AJK Umno Bahagian Ketereh, Abdul Manaf Abdullah menyerah borang menyertai PAS kepada Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa pada satu program ceramah yang diadakan di Kedai Kok Lanas.

Image Beliau mula menyertai Umno pada 1976. Pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Kok Lanas. Pernah juga memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian Kok Lanas.

Jawatan lain yang pernah disandangnya termasuk Ketua Cawangan Umno Kok Lanas, Ketua Penerangan Dun Kok Lanas dan Penyelaras Zon Peti Undi Kok Lanas dan Kem Desa Pahlawan.

Abdul Manaf berkata, beliau secara sukarela meninggalkan parti itu kerana perjuangan yang dilaungkan untuk bangsa, agama dan negara ternyata tidak berjaya dilaksanakan sehingga sekarang.

“Jangka masa 50 tahun memerintah merupakan satu masa yang panjang bagi sesebuah kerajaan. Namun agenda untuk mendaulatkan agama, bangsa dan negara tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di majlis tersebut.

Namun apa yang berlaku sekarang katanya, keadaan sebaliknya pula di mana remaja Melayu semakin rosak akhlaknya dan agama Islam dibiarkan kerajaan terus dicabar.

Pengerusi SPR buat duit atas bantahan daftar pemilih - Husam

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menuduh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman 'buat duit' atas caj bayaran bagi bantahan yang dibuat ke atas seseorang pengundi dalam daftar pemilih baru yang dipamer SPR.

Menurutnya caj yang dikenakan untuk satu bantahan ke atas seorang pendaftar disyaki adalah mereka yang tidak layak mengundi di kawasan tersebut ialah RM10.

Justeru sebagai contoh, jika terdapat 1000 nama pengundi yang baru didaftar yang disyaki tidak layak mengundi di kawasan tersebut, pembantah terpaksa membayar sejumlah RM10,000 untuk tujuan itu.

"Wang ini, jika berjaya atau tidak tetap hangus.Jumlah ini adalah sama bagi jumlah bayaran deposit bagi seorang calon yang mahu bertanding bagi kerusi Parlimen.Bagi kami, ia amat membebankan, justeru caj ini perlu dimansuhkan, sebaliknya diberi ganjaran kepada mereka yang bantah dan bantahan itu benar,"tegasnya semasa mengadakan sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini.

Turut serta dalam sidang media itu ialah, bekas Bendahari KeADILan, Abdul Rahman Othman yang kini menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat.

Sementara itu mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-12, beliau berkata setakat ini tanda-tanda awal pilihan raya tidak akan dibuat pada bulan Ogos dapat dilihat dengan pengumuman SPR bahawa Kelantan memiliki 200,000 pengundi tidak berdaftar.

Ini menandakan bahawa kegagalan Umno dan jentera Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam rancangan asalnya untuk memindahkan pengundi dari luar Kelantan mengundi di negeri tersebut, ujarnya.

Sebelum ini, PAS Kelantan pernah membuat bantahan dan kenyataan mengenai usaha Umno Kelantan untuk membawa pengundi luar mengundi di Kelantan yang boleh disifatkan sebagai pendaftaran pengundi hantu secara terancang, kata Husam.

PAS melihat kegegalan Umno Kelantan yang masih bergolak antara satu pimpinan dengan pimpinan lain di negeri itu menyebabkan ketidaksediaan mereka (BN) berhadapan dengan pilihan raya umum, ujarnya.

PAS bimbang kos berganda dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang - Husam

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Hrkh) - PAS bimbang akan berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda di dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagaimana yang pernah berlaku apabila UEM Bhd membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kata, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa.

Ini katanya dalam satu kenyataan, sehingga hari ini, UEM Bhd membuat beberapa kenyataan yang menunjukkan akan berlaku peningkatan kos kerana komitmen pembinaan jambatan dibuat sebelum perancangannya selesai.

“PAS ingin mengingatkan Kementerian Kewangan bahawa rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 billion akhirnya melambung naik menjadi RM6.8 billion.

“Peningkatan kos sebanyak 94 peratus tersebut seolah-olah menunjukkan pembinaan PLUS langsung tidak diawasi oleh jurutera dan jurukur bahan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PAS.

Walhal katanya, Propel yang merupakan Pengurus Projek yang dilantik untuk mengawasi pembinaan PLUS menggaji kepakaran kejuruteraan luar negara dan dalam negeri.

Katanya, walaupun kerajaan Malaysia menandatangani pinjaman sebanyak RM2.6 billion daripada Exim Bank of China untuk menampung kos pembinaan jambatan dan konsortium UEM Construction dan CHEC dilantik sebagai kontraktor, Kementerian Kewangan masih gagal mengumumkan bajet bagi menyiapkan pembinaan jambatan tersebut.

Bajet masih lagi ‘open-ended’ sedangkan katanya, komitmen pinjaman dan perlantikan kontraktor sudah dibuat dan ini akan menyebabkan rakyat menanggung beban kadar bayaran tol yang tinggi apabila jambatan siap nanti.

Beliau menegaskan PAS bimbang akan berulangnya peningkatan kos dan ‘kebocoran’ yang akan ditanggung oleh rakyat.

Pertama katanya, ialah bajet bagi kos pembinaan jambatan belum di putuskan. UEM Group mengumumkan kos pembinaan belum ditetapkan kerana rekaan penuh jambatan masih belum disiapkan.

Keduanya UEM Group katanya, seolah-olah sudah membuat persiapan untuk menampung ‘kebocoran’ apabila kerja-kerja awalan bawah tanah seperti menanam cerucuk, menggerudi dan membersihkan kawasan diakukan UEM sendiri dan tidak dilakukan Konsorium Kontraktor yang dilantik.

Amalan menampung kos ‘bocor’ melalui kerja-kerja bawah tanah merupakan strategi yang diwarisi UEM semasa membina PLUS dahulu, katanya.

Ketiga katanya, tekanan dari pihak China untuk memiliki 51 peratus kepentingan di dalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM2.6 bilion yang diberi oleh bank China.

Memandangkan bajet pembinaan belum ditentukan, ini membuka ruang bagi syarikat China untuk memaksa kos pembinaan yang tinggi.

UEM Construction pula merupakan anak syarikat UEM Builders, sebuah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia memang dahagakan keuntungan besar untuk menampung kerugian hampir RM650 juta di dalam projek pembinaan lebuhraya di Qatar.

Sehubunganitu katanta perancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mengulangi skrip perlaksanaan projek mega dahulu.

Katanya, jaminan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.

“PAS menuntut supaya bajet pembinaan diumumkan segera agar rakyat dapat menilai sama ada jambatan dibina dengan kos yang munasabah.

“Sementara bajet tersebut dapat disiapkan segala komitmen perbelanjaan perlu dihentikan,” katanya.

Insinerator: Pampasan lebih RM500 juta, negara rugi besar

PUTRAJAYA, 17 Julai (Hrkh) - Akibat membatalkan projek jambatan bengkok tidak lama dahulu kerajaan telah membazirkan kira-kira RM100 juta, bagaimanapun baru-baru ini kerajaan pula didakwa terpaksa membayar pampasan antara RM500 hingga RM700 juta akibat pembatalan projek insinerator di Broga.

Menyedari jumlah pampasan pembatalan projek insinerator yang begitu tinggi, Naib Presiden PAS Dato' Husam Musa berkata, ia merupakan satu kerugian besar oleh negara kerana pembatalan projek itu dibuat terlalu lambat.

ImageBeliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan Memorandum Beban Kronisma Pengurusan Sampah kepada Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun diwakilkan kepada Pegawai Khas Najib iaitu Dato' Shahlan Ismail.

Husam berkata, mengikut maklumat yang diterima pada asasnya kos minimum yang ditanggung oleh kerajaan adalah RM500 juta kerana membatalkan projek ini selepas meluluskannya.

"Kalau kita tidak lulus awal-awal lagi kita tidak perlu bayar kerugian RM500 juta dan malah Jun 2003 Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bagitu juga saya telah membangkitkan isu ini di parlimen serta memperincikan kos," katanya.

Bahkan katanya, rakyat dan juga penduduk di Broga sendiri telah membuat bantahan serta tindakan undang-undang berhubung kos pembinaan itu terlalu tinggi, tetapi tidak dihiraukan kerajaan pada masa itu.

Baru-baru ini, Najib mengakui seterusnya membatalkan projek insinerator di Broga dengan alasannya bahawa kos yang terlalu tinggi iaitu RM1.5 bilion.

Kos operasi pula dianggarkan RM50 juta setahun untuk memproses 1,500 tan sampah sehari dan ini adalah jauh lebih tinggi bagi kos biasa sekitar RM45 setan.

Image"Isu pokok di sini ialah kenapa hanya sekarang kerajaan menyedari kos tersebut adalah amat luar biasa tingginya, dengan tenaga kepakaran sedia ada, dan dengan bantuan konsultan adalah mustahil kerajaan tidak menyedari implikasi yang tidak tertanggung ini," tegas Husam.

Beliau menambah, dengan kerugian beratus-ratus juta itu alangkah baiknya jika wang itu digunakan untuk membayar wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi.

"Pelajar tak perlu bayar loan mereka, daripada wang itu membazir begitu sahaja, ataupun wang itu boleh dimanfaatkan kepada rakyat miskin dan pelajar-pelajar tidak cukup wang untuk belajar," ujarnya.

Justeru, Husam meminta kerajaan bersifat telus dengan mengesyorkan satu Jawatankuasa Perundingan Parlimen dibentuk untuk berunding dengan didahulukan satu perlantikan Audit Antarabangsa bagi menyemak semua dokumen tuntutan.

Jelasnya, menteri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara prinsipnya tidak wajar diserahkan tugas berunding kerana mereka telah terlibat dengan keputusan yang silap sebelum daripada itu.

Di samping itu, katanya, satu laporan Kertas Putih hendaklah dibentangkan di parlimen dan semua pembayaran pampasan terlebih dahulu mendapat persetujuan parlimen.

"Saya percaya jika kerajaan melakukan perkara ini kita boleh jimatkan kos antara RM100 hingga RM200 juta dan kita boleh gunakan wang ini untuk faedah rakyat miskin,".

"Saya suka meingatkan bahawa negara telah mengalami begitu banyak kerugian kerana terpaksa membayar pampasan semata-mata kerana kerajaan telah menukar keputusannya dari awalnya bersetuju kemudian membatalkan projek itu,"katanya.

Dalam pertemuan bersama Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, kira-kira sejam di pejabatnya, Husam turut ditemani Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Broga, Zulkifli Omar; Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohammad Nor Mohammad; dan beberapa wakil Dewan Pemuda PAS Pusat.

Kerajaan Johor boleh bankrap dalam tujuh hari - Husam

KUALA LUMPUR, 12 Jul (Hrkh) - Kerajaan Johor boleh diisytihar bangkrap dalam tempoh tujuh hari jika ia gagal membayar hutang akibat menjamin anak syarikatnya, Johor Corporation (JCorp).

Ketika mendedahkan perkara itu dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyatakan, hutang tersebut telah meningkat dari jumlah asalnya sebanyak RM4.032 bilion. Image

"Asalnya ia adalah hutang anak syarikat kerajaan Johor iaitu JCorp, tetapi selepas penyusunan semula, kerajaan Johor telah terlibat dengan menjadi penjamin.

"Difahamkan, mengikut perjanjian, tanah kerajaan Johor dijadikan cagaran dan jika sekiranya kerajaan Johor gagal membayar hutang atau bunganya, kerajaan Johor boleh diisytihar bangkrap dalam tempoh tujuh hari!," kata beliau.

Beliau bertanya, mampukah Johor membayar hutang yang telah meningkat dari jumlah asalnya sebanyak RM4.032 bilion itu?

Lebih membimbangkan ialah apabila Husam mempersoalkan, adakah kedudukan hutang yang besar itu tidak menjadikan Johor tertekan sehingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh mengancam masa depan dan kepentingan rakyat dan negeri itu?

"Tidakkah nanti kepentingan Negeri Johor akan terabai melalui pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dengan mengizinkan negara asing terlibat dalam menentukan bentuk pembangunan dan polisi dalam wilayah kita sendiri, semata-mata untuk membolehkan Kerajaan Johor mencari wang membayar hutang ini?

"Dengan kata singkat, bolehkah kita harapkan kepentingan Johor tidak tergadai? Saya hanya melontarkan kebimbangan demi kebimbangan. Mungkin ada pihak boleh memberikan respon?" tanya beliau.

Menurut Husam, seorang kenalannya telah menarik perhatian beliau terhadap kemungkinan Johor diisytihar bangkrap lima tahun dari sekarang.

"Kenalan ini merujuk kepada hutang JCorp berjumlah RM4.032 bilion yang telah disusun semula pada tahun 2002, melalui agensi Jawatankuasa Penyusunan Semula dan Hutang Korporat (CDRC). Penyusunan semula ini memerlukan jaminan oleh Kerajaan Johor," katanya.

Rakan beliau itu kemudiannya menunjukkan maklumat dari laman web CDRC yang boleh dilayari untuk melihat siaran media berkenaan isu tersebut.

"Namun, perincian perjanjian hutang yang disusun semula itu tidak disertakan," kata Husam.

Menurut beliau, pembayaran balik dibahagikan kepada tiga peringkat dan paling besar ialah apabila matang pada tahun 2012.

Johari lawan KPN: Di mana PM? - Husam

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mempersoalkan adakah Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak tahu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di dalam kementerian yang diterajuinya sendiri sebelum menyambung perkhidmatan Musa.

Beliau juga membangkitkan tanda tanya adakah Johari telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan BPR ke atas Musa.

"Polis di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Johari Timbalan Menterinya. Laporan BPR yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah tindakan rasmi.

"Adakah beliau telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan berkenaan sedangkan baru beberapa minggu Perdana Menteri melantik Ketua Polis Negara sekali lagi?" beliau mempersoalkan.

Beliau seterusnya mempersoalkan, adakah Musa tidak perlu meletakkan jawatan selepas laporan dibuat oleh pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sendiri?

"Ia adalah usul tidak percaya Kementerian Dalam Negeri terhadap Ketua Polisnya sendiri. Apa kata Abdullah jika laporan yang diarahkan oleh Johari tidak dimaklum kepada Abdullah terlebih dahulu? Bukankah ia juga bermakna Johari hilang kepercayaan terhadap Abdullah?

"(Adakah) ia bermakna Johari sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak menghormati perlantikan yang diibuat oleh Abdullah dan menyanggah perlantikan itu dengan membuat laporan tersebut?" tanya Husam lagi.

Persoalan terbesar sekarang, katanya, bagaimana Abdullah akan meletakkan dirinya dalam pertembungan menentukan siapa salah antara Johari dan Musa?

"Ia memerlukan Abdullah memecat timbalannya itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan, jika Abdullah dimaklumkan terlebih dahulu, apa bijaknya Abdullah menyambung kontrak Musa, kemudian laporan BPR dibuat?

"Bukankah lebih baik kontrak itu tidak disambung dan kemudian laporan itu dibuat? Bukankah itu menunjukkan Abdullah tidak teliti, tidak berani dan menyalahi keputusannya sendiri?" Husam mepersoalkan.

Kepada beliau, ia bukan lagi maruah Musa atau Johari tetapi maruah Abdullah dan kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.

"Ia adalah satu krisis. Ia memerlukan samada Musa atau Johari dipecat atau meletakkan jawatan," katanya.

Dengan krisis seburuk itu di kalangan para pemimpin tertinggi kerajaan dan diburukkan pula oleh sikap Perdana Menteri, Husam menyifatkan Barisan Nasional hanya bernasib baik kerana media utama dikawal sepenuhnya.

"Human Capital yang dilaungkan Abdullah reput dari atas. Beliau hanya terkebil-kebil, bukan sahaja tidak berbuat apa-apa tetapi tidak berkata apa-apa, melainkan mengiyakan kereputan itu.

"Ketika Timbalan Menteri dihadapkan dengan rasuah RM5 juta kerana melepaskan tiga ketua penjenayah, siasatan dilakukan. Tiada arahan beliau untuk Musa sama disiasat seperti Johari bila isu rasuah Musa beredar di Internet," katanya.

Bahkan, katanya lagi, Perdana Menteri sebaliknya menyambung kontrak Ketua Polis Negara.

"Katanya, kontrak Musa disambung untuk menyempurnakan misi membenteras jenayah. Sama seperti beliau menyambung kontrak dua kali lagi kepada bekas Ketua Pengarah BPR selepas beliau menerima tiga laporan dari Pegawai Tinggi BPR sendiri mengenai dakwaan rasuah ke atas bekas Ketua Pengarah BPR tersebut," katanya.

Husam menyifatkan deria kepekaan Perdana Menteri terhadap isu rasuah ternyata amat lemah.

"Kata-katanya seperti 'Tell me the truth' dan 'Dont be an apple polisher', hilang ditelan angin Monsoon Cup.

"Ketika ditanya tentang laporan 600 muka (mungkin diambil dari lapan kotak besar salah guna kuasa yang pernah disebut oleh Ezam tidak lama dulu) kes salah guna kuasa oleh seorang menteri kanan, Abdullah selamba memberitahu beliau belum membacanya," katanya.

Walaupun isu-isu rasuah yang lain muncul satu demi satu di seluruh negara, berpandukan jawapannya kepada pertanyaan media, Husam menyifatkan Perdana Menteri lebih banyak tak tahu dari tahu.

"Human-human di bawah Abdullah nampaknya telah bertukar memburu capital alias money sepenuhnya. Insan-insan ini telah mengejar untuk mengumpulkan 'modal' - dan ini adalah lambang kegagalan human capital tanpa asas agama dan hitungan akhirat yang melekat dalam jiwa yang diterajui Abdullah dengan Islam Hadharinya," kata beliau lagi.

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008