Tuesday, October 2, 2007

Pejabat Exco Kelantan diceroboh lagi

KOTA BHARU, 24 Julai (Hrkh) – Ceroboh lagi. Apa sudah jadi dengan kawalan keselamatan di Kota Darulnaim, apabila berlaku lagi pecah masuk pejabat anggota Exco kerajaan negeri.

Hairan. Tahun ini sahaja sudah dua kali kejadian serupa berlaku. Malah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Jun lalu, isu menceroboh masuk ke pejabat Exco digegerkan. Ada Adun mencadangkan supaya dipasang CCTV.

Namun sehingga ke hari belum pun kelihatan CCTV dipasang. Nampaknya, isu ini seperti tidak selesai. Di mana silapnya.

Pegawai Khas kepada Exco terbabit, Mohamed Zainal Abidin Hussin berkata, kejadian itu disedari salah seorang kakitangan apabila mendapati pintu pejabat Dato’ Takiyuddin Hassan tidak berkunci ketika datang ke pejabat pagi tadi.

“Selain itu didapati ada kesan geledah seperti mencari sesuatu. Manakala fail dan barangan lain berselerak atas lantai. Selain itu almari serta laci meja dalam keadaan berselerak,” katanya ketika ditemui di sini.

Kata beliau turut terdapat kesan-kesan geledah di pejabatnya sendiri yang terletak bersebelahan dengan pejabat Exco terbabit dan meja kepunyaan pembantu khas Exco, Nik Norma Nik Daud.

Katanya, keadaan berselerak juga berlaku di meja Nik Norma. Bagaimanapun hairannya meja pembantu pejabat kepada seorang lagi anggota Exco, Dato’ Husam Musa tidak diusik.

Menurutnya berdasar kepada penelitian awal tidak terdapat barangan berharga hilang, malah komputer riba, kamera video tidak diambil penceroboh.

“Ini menimbulkan keraguan apakah motif sebenar pencerobohan dilakukan,” ujarnya. Kata beliau percerohan itu dipercayai berlaku malam tadi.

“Walau bagaimanapun masih belum dipastikan sama ada terdapat kehilangan dokumen penting memandangkan Exco terbabit ketika ini berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Seminar Emas Dinar Antarabangsa,” katanya.

Menurutnya laporan polis telah dibuat Nik Norma di ibu pejabat Polis Daerah Kota Bharu, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sebelum ini Sabtu lalu, pejabat Takiyuddin di Bunut Payung juga dimasuki pencuri di mana empat komputer dan beberapa barangan berharga lain didapati hilang.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008