Tuesday, October 2, 2007

Kerajaan Johor boleh bankrap dalam tujuh hari - Husam

KUALA LUMPUR, 12 Jul (Hrkh) - Kerajaan Johor boleh diisytihar bangkrap dalam tempoh tujuh hari jika ia gagal membayar hutang akibat menjamin anak syarikatnya, Johor Corporation (JCorp).

Ketika mendedahkan perkara itu dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menyatakan, hutang tersebut telah meningkat dari jumlah asalnya sebanyak RM4.032 bilion. Image

"Asalnya ia adalah hutang anak syarikat kerajaan Johor iaitu JCorp, tetapi selepas penyusunan semula, kerajaan Johor telah terlibat dengan menjadi penjamin.

"Difahamkan, mengikut perjanjian, tanah kerajaan Johor dijadikan cagaran dan jika sekiranya kerajaan Johor gagal membayar hutang atau bunganya, kerajaan Johor boleh diisytihar bangkrap dalam tempoh tujuh hari!," kata beliau.

Beliau bertanya, mampukah Johor membayar hutang yang telah meningkat dari jumlah asalnya sebanyak RM4.032 bilion itu?

Lebih membimbangkan ialah apabila Husam mempersoalkan, adakah kedudukan hutang yang besar itu tidak menjadikan Johor tertekan sehingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh mengancam masa depan dan kepentingan rakyat dan negeri itu?

"Tidakkah nanti kepentingan Negeri Johor akan terabai melalui pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dengan mengizinkan negara asing terlibat dalam menentukan bentuk pembangunan dan polisi dalam wilayah kita sendiri, semata-mata untuk membolehkan Kerajaan Johor mencari wang membayar hutang ini?

"Dengan kata singkat, bolehkah kita harapkan kepentingan Johor tidak tergadai? Saya hanya melontarkan kebimbangan demi kebimbangan. Mungkin ada pihak boleh memberikan respon?" tanya beliau.

Menurut Husam, seorang kenalannya telah menarik perhatian beliau terhadap kemungkinan Johor diisytihar bangkrap lima tahun dari sekarang.

"Kenalan ini merujuk kepada hutang JCorp berjumlah RM4.032 bilion yang telah disusun semula pada tahun 2002, melalui agensi Jawatankuasa Penyusunan Semula dan Hutang Korporat (CDRC). Penyusunan semula ini memerlukan jaminan oleh Kerajaan Johor," katanya.

Rakan beliau itu kemudiannya menunjukkan maklumat dari laman web CDRC yang boleh dilayari untuk melihat siaran media berkenaan isu tersebut.

"Namun, perincian perjanjian hutang yang disusun semula itu tidak disertakan," kata Husam.

Menurut beliau, pembayaran balik dibahagikan kepada tiga peringkat dan paling besar ialah apabila matang pada tahun 2012.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008