Monday, October 1, 2007

Dinar Emas Kelantan Dilancar 20 Sept Ini

KOTA BAHARU, 13 Sept (Bernama) - Kelantan bakal memperkenalkan dinar emasnya kepada umum pada 20 Sept ini, sebagai satu simpanan, mas kahwin, zakat dan hadiah, kepada rakyatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Datuk Husam Musa berkata dinar itu bukanlah sebagai satu mata wang rasmi Kelantan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Penggunaan dinar ini semata-mata untuk membolehkan rakyat Kelantan mengetahui mengenai sejarah penggunaannya, katanya pada pra-pelancaran dinar itu di sini, hari Rabu.

Pelancaran dinar emas itu akan dilakukan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan untuk tempoh pertama pengenalannya, kerajaan negeri melalui Permodalan Kelantan Berhad telah menempah tiga kilogram emas bernilai RM240,000 dalam bentuk dinar bagi dijual kepada orang ramai.

Katanya kerajaan negeri turut membeli dinar yang berharga RM100,000 untuk tujuan simpanan.

Orang ramai boleh mendapatkan dinar itu dalam saiz satu dinar yang dijual pada harga RM332.25, setengah dinar (RM176.76) dan suku dinar (RM99.38).

Husam berkata rekabentuk dinar itu dicipta oleh anak Kelantan sendiri dengan muka depan dinarnya tertera tahun dikeluarkan, logo negeri, kubah masjid, berat emas dalam gram dan mutu emas.

Pada muka belakang dinar itu juga tertera tahun ia dikeluarkan, perkataan dalam tulisan jawi "emas dinar Kelantan" dan berat emas dalam gram.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri telah melantik satu jawatankuasa untuk mengkaji penggunaan dinar emas itu sama ada menyalahi peraturan undang-undang atau sebaliknya.

"Bagaimanapun jawatankuasa ini mendapati ia tidak menjadi satu kesalahan di bawah peraturan Bank Negara jika Kelantan memperkenalkan dinar emas ini dan tidak perlu mendapat kelulusan bank pusat tersebut," katanya.

Ketika Husam mengumumkan cadangan penggunaan dinar itu tiga bulan lalu, ia mendapat perhatian ramai pihak kerana khuatir ia menyalahi peraturan Bank Negara.

Ia juga mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak membenarkan Kelantan menggunakan dinar emas sebagai mata wang rasmi.

Husam juga berkata orang ramai yang ingin menjual kembali dinar itu boleh menebusnya dengan wang tunai sama ada di lapan premis pajak gadai Islam ar-Rahnu atau di kedai-kedai emas terpilih.

Beliau juga mempelawa pihak di luar Kelantan yang berminat untuk menjadi agen menjual dinar emas Kelantan supaya menghubungi Kerajaan Negeri untuk berbuat demikian.

"Sesiapa sahaja di Malaysia boleh membeli dinar ini untuk disimpan sebagai tabungan kerana nilai emas tidak susut nilainya berbanding mata wang yang kita gunakan sekarang," katanya.

Menurutnya dinar itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan orang ramai tidak perlu bimbang dinar palsu di pasaran.

Mereka boleh mendapatkan dinar itu di premis penjualannya di Jalan Dato Pati di sini.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008