Tuesday, October 2, 2007

Johari lawan KPN: Di mana PM? - Husam

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mempersoalkan adakah Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak tahu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di dalam kementerian yang diterajuinya sendiri sebelum menyambung perkhidmatan Musa.

Beliau juga membangkitkan tanda tanya adakah Johari telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan BPR ke atas Musa.

"Polis di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Johari Timbalan Menterinya. Laporan BPR yang diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri adalah tindakan rasmi.

"Adakah beliau telah mendapat kebenaran Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri untuk membuat laporan berkenaan sedangkan baru beberapa minggu Perdana Menteri melantik Ketua Polis Negara sekali lagi?" beliau mempersoalkan.

Beliau seterusnya mempersoalkan, adakah Musa tidak perlu meletakkan jawatan selepas laporan dibuat oleh pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sendiri?

"Ia adalah usul tidak percaya Kementerian Dalam Negeri terhadap Ketua Polisnya sendiri. Apa kata Abdullah jika laporan yang diarahkan oleh Johari tidak dimaklum kepada Abdullah terlebih dahulu? Bukankah ia juga bermakna Johari hilang kepercayaan terhadap Abdullah?

"(Adakah) ia bermakna Johari sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak menghormati perlantikan yang diibuat oleh Abdullah dan menyanggah perlantikan itu dengan membuat laporan tersebut?" tanya Husam lagi.

Persoalan terbesar sekarang, katanya, bagaimana Abdullah akan meletakkan dirinya dalam pertembungan menentukan siapa salah antara Johari dan Musa?

"Ia memerlukan Abdullah memecat timbalannya itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan, jika Abdullah dimaklumkan terlebih dahulu, apa bijaknya Abdullah menyambung kontrak Musa, kemudian laporan BPR dibuat?

"Bukankah lebih baik kontrak itu tidak disambung dan kemudian laporan itu dibuat? Bukankah itu menunjukkan Abdullah tidak teliti, tidak berani dan menyalahi keputusannya sendiri?" Husam mepersoalkan.

Kepada beliau, ia bukan lagi maruah Musa atau Johari tetapi maruah Abdullah dan kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.

"Ia adalah satu krisis. Ia memerlukan samada Musa atau Johari dipecat atau meletakkan jawatan," katanya.

Dengan krisis seburuk itu di kalangan para pemimpin tertinggi kerajaan dan diburukkan pula oleh sikap Perdana Menteri, Husam menyifatkan Barisan Nasional hanya bernasib baik kerana media utama dikawal sepenuhnya.

"Human Capital yang dilaungkan Abdullah reput dari atas. Beliau hanya terkebil-kebil, bukan sahaja tidak berbuat apa-apa tetapi tidak berkata apa-apa, melainkan mengiyakan kereputan itu.

"Ketika Timbalan Menteri dihadapkan dengan rasuah RM5 juta kerana melepaskan tiga ketua penjenayah, siasatan dilakukan. Tiada arahan beliau untuk Musa sama disiasat seperti Johari bila isu rasuah Musa beredar di Internet," katanya.

Bahkan, katanya lagi, Perdana Menteri sebaliknya menyambung kontrak Ketua Polis Negara.

"Katanya, kontrak Musa disambung untuk menyempurnakan misi membenteras jenayah. Sama seperti beliau menyambung kontrak dua kali lagi kepada bekas Ketua Pengarah BPR selepas beliau menerima tiga laporan dari Pegawai Tinggi BPR sendiri mengenai dakwaan rasuah ke atas bekas Ketua Pengarah BPR tersebut," katanya.

Husam menyifatkan deria kepekaan Perdana Menteri terhadap isu rasuah ternyata amat lemah.

"Kata-katanya seperti 'Tell me the truth' dan 'Dont be an apple polisher', hilang ditelan angin Monsoon Cup.

"Ketika ditanya tentang laporan 600 muka (mungkin diambil dari lapan kotak besar salah guna kuasa yang pernah disebut oleh Ezam tidak lama dulu) kes salah guna kuasa oleh seorang menteri kanan, Abdullah selamba memberitahu beliau belum membacanya," katanya.

Walaupun isu-isu rasuah yang lain muncul satu demi satu di seluruh negara, berpandukan jawapannya kepada pertanyaan media, Husam menyifatkan Perdana Menteri lebih banyak tak tahu dari tahu.

"Human-human di bawah Abdullah nampaknya telah bertukar memburu capital alias money sepenuhnya. Insan-insan ini telah mengejar untuk mengumpulkan 'modal' - dan ini adalah lambang kegagalan human capital tanpa asas agama dan hitungan akhirat yang melekat dalam jiwa yang diterajui Abdullah dengan Islam Hadharinya," kata beliau lagi.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008