Tuesday, October 2, 2007

PAS bimbang kos berganda dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang - Husam

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Hrkh) - PAS bimbang akan berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda di dalam pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC) sebagaimana yang pernah berlaku apabila UEM Bhd membina Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kata, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa.

Ini katanya dalam satu kenyataan, sehingga hari ini, UEM Bhd membuat beberapa kenyataan yang menunjukkan akan berlaku peningkatan kos kerana komitmen pembinaan jambatan dibuat sebelum perancangannya selesai.

“PAS ingin mengingatkan Kementerian Kewangan bahawa rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 billion akhirnya melambung naik menjadi RM6.8 billion.

“Peningkatan kos sebanyak 94 peratus tersebut seolah-olah menunjukkan pembinaan PLUS langsung tidak diawasi oleh jurutera dan jurukur bahan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, PAS.

Walhal katanya, Propel yang merupakan Pengurus Projek yang dilantik untuk mengawasi pembinaan PLUS menggaji kepakaran kejuruteraan luar negara dan dalam negeri.

Katanya, walaupun kerajaan Malaysia menandatangani pinjaman sebanyak RM2.6 billion daripada Exim Bank of China untuk menampung kos pembinaan jambatan dan konsortium UEM Construction dan CHEC dilantik sebagai kontraktor, Kementerian Kewangan masih gagal mengumumkan bajet bagi menyiapkan pembinaan jambatan tersebut.

Bajet masih lagi ‘open-ended’ sedangkan katanya, komitmen pinjaman dan perlantikan kontraktor sudah dibuat dan ini akan menyebabkan rakyat menanggung beban kadar bayaran tol yang tinggi apabila jambatan siap nanti.

Beliau menegaskan PAS bimbang akan berulangnya peningkatan kos dan ‘kebocoran’ yang akan ditanggung oleh rakyat.

Pertama katanya, ialah bajet bagi kos pembinaan jambatan belum di putuskan. UEM Group mengumumkan kos pembinaan belum ditetapkan kerana rekaan penuh jambatan masih belum disiapkan.

Keduanya UEM Group katanya, seolah-olah sudah membuat persiapan untuk menampung ‘kebocoran’ apabila kerja-kerja awalan bawah tanah seperti menanam cerucuk, menggerudi dan membersihkan kawasan diakukan UEM sendiri dan tidak dilakukan Konsorium Kontraktor yang dilantik.

Amalan menampung kos ‘bocor’ melalui kerja-kerja bawah tanah merupakan strategi yang diwarisi UEM semasa membina PLUS dahulu, katanya.

Ketiga katanya, tekanan dari pihak China untuk memiliki 51 peratus kepentingan di dalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM2.6 bilion yang diberi oleh bank China.

Memandangkan bajet pembinaan belum ditentukan, ini membuka ruang bagi syarikat China untuk memaksa kos pembinaan yang tinggi.

UEM Construction pula merupakan anak syarikat UEM Builders, sebuah syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia memang dahagakan keuntungan besar untuk menampung kerugian hampir RM650 juta di dalam projek pembinaan lebuhraya di Qatar.

Sehubunganitu katanta perancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang ini mengulangi skrip perlaksanaan projek mega dahulu.

Katanya, jaminan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.

“PAS menuntut supaya bajet pembinaan diumumkan segera agar rakyat dapat menilai sama ada jambatan dibina dengan kos yang munasabah.

“Sementara bajet tersebut dapat disiapkan segala komitmen perbelanjaan perlu dihentikan,” katanya.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008