Tuesday, October 2, 2007

Insinerator: Pampasan lebih RM500 juta, negara rugi besar

PUTRAJAYA, 17 Julai (Hrkh) - Akibat membatalkan projek jambatan bengkok tidak lama dahulu kerajaan telah membazirkan kira-kira RM100 juta, bagaimanapun baru-baru ini kerajaan pula didakwa terpaksa membayar pampasan antara RM500 hingga RM700 juta akibat pembatalan projek insinerator di Broga.

Menyedari jumlah pampasan pembatalan projek insinerator yang begitu tinggi, Naib Presiden PAS Dato' Husam Musa berkata, ia merupakan satu kerugian besar oleh negara kerana pembatalan projek itu dibuat terlalu lambat.

ImageBeliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum menyerahkan Memorandum Beban Kronisma Pengurusan Sampah kepada Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, bagaimanapun diwakilkan kepada Pegawai Khas Najib iaitu Dato' Shahlan Ismail.

Husam berkata, mengikut maklumat yang diterima pada asasnya kos minimum yang ditanggung oleh kerajaan adalah RM500 juta kerana membatalkan projek ini selepas meluluskannya.

"Kalau kita tidak lulus awal-awal lagi kita tidak perlu bayar kerugian RM500 juta dan malah Jun 2003 Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bagitu juga saya telah membangkitkan isu ini di parlimen serta memperincikan kos," katanya.

Bahkan katanya, rakyat dan juga penduduk di Broga sendiri telah membuat bantahan serta tindakan undang-undang berhubung kos pembinaan itu terlalu tinggi, tetapi tidak dihiraukan kerajaan pada masa itu.

Baru-baru ini, Najib mengakui seterusnya membatalkan projek insinerator di Broga dengan alasannya bahawa kos yang terlalu tinggi iaitu RM1.5 bilion.

Kos operasi pula dianggarkan RM50 juta setahun untuk memproses 1,500 tan sampah sehari dan ini adalah jauh lebih tinggi bagi kos biasa sekitar RM45 setan.

Image"Isu pokok di sini ialah kenapa hanya sekarang kerajaan menyedari kos tersebut adalah amat luar biasa tingginya, dengan tenaga kepakaran sedia ada, dan dengan bantuan konsultan adalah mustahil kerajaan tidak menyedari implikasi yang tidak tertanggung ini," tegas Husam.

Beliau menambah, dengan kerugian beratus-ratus juta itu alangkah baiknya jika wang itu digunakan untuk membayar wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi.

"Pelajar tak perlu bayar loan mereka, daripada wang itu membazir begitu sahaja, ataupun wang itu boleh dimanfaatkan kepada rakyat miskin dan pelajar-pelajar tidak cukup wang untuk belajar," ujarnya.

Justeru, Husam meminta kerajaan bersifat telus dengan mengesyorkan satu Jawatankuasa Perundingan Parlimen dibentuk untuk berunding dengan didahulukan satu perlantikan Audit Antarabangsa bagi menyemak semua dokumen tuntutan.

Jelasnya, menteri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara prinsipnya tidak wajar diserahkan tugas berunding kerana mereka telah terlibat dengan keputusan yang silap sebelum daripada itu.

Di samping itu, katanya, satu laporan Kertas Putih hendaklah dibentangkan di parlimen dan semua pembayaran pampasan terlebih dahulu mendapat persetujuan parlimen.

"Saya percaya jika kerajaan melakukan perkara ini kita boleh jimatkan kos antara RM100 hingga RM200 juta dan kita boleh gunakan wang ini untuk faedah rakyat miskin,".

"Saya suka meingatkan bahawa negara telah mengalami begitu banyak kerugian kerana terpaksa membayar pampasan semata-mata kerana kerajaan telah menukar keputusannya dari awalnya bersetuju kemudian membatalkan projek itu,"katanya.

Dalam pertemuan bersama Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, kira-kira sejam di pejabatnya, Husam turut ditemani Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Broga, Zulkifli Omar; Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohammad Nor Mohammad; dan beberapa wakil Dewan Pemuda PAS Pusat.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008