Monday, October 1, 2007

Pemilihan Calon PAS Adalah Kehendak Pusat Dan Rakyat

KOTA BAHARU, 12 Mac (Bernama) - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pertukaran kawasan bertanding dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada kerusi Parlimen atau sebaliknya oleh calon-calon PAS di Kelantan pada pilihan raya umum ke-11 ini, adalah kehendak PAS Pusat dan rakyat.

Katanya ini kerana calon-calon terbabit dilihat lebih berpotensi daripada segi sumbangan mereka kepada parti dan rakyat apabila menang kelak.

"Macam timbalan saya (Datuk Abdul Halim Abdul Rahman), (PAS) pusat minta beliau pergi (bertanding) Parlimen walaupun saya berikhtiar begitu begini (supaya bertanding DUN) akhirnya saya akur pada arahan pusat, beliau bertanding Parlimen Pengkalan Chepa," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai calon-calon PAS yang akan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke 11, di sini, Khamis malam.

Nik Aziz mengulas beberapa calon Parlimen pada pilihan raya umum 1999 dibawa bertanding kerusi DUN pada pilihan raya umum ini, mereka termasuklah Husam Musa yang merupakan penyandang Parlimen Kubang Kerian tetapi kini bertanding DUN Kijang, Mohd Amar Abdullah dari Parlimen Pengkalan Chepa kini bertanding kerusi DUN Panchor.

Ditanya adakah beliau akan terus menjadi Menteri Besar jika PAS memenangi pilihan raya umum ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau sentiasa bersedia jika khidmatnya masih diperlukan oleh parti dan rakyat.

Mengenai penggantinya, beliau berkata terdapat ramai yang berkebolehan tetapi yang penting mereka ini mestilah daripada tokoh ulama.

Ditanya langkah PAS meletakkan dua calon wanita iaitu Rohani Ibrahim (DUN Tanjong Mas) dan Kalthom Othman (Parlimen Pasir Puteh) pada pilihan raya umum ini, beliau berkata mereka diletakkan di kawasan yang selamat iaitu mudah untuk menang selain menghargai sumbangan yang telah banyak diberikan oleh golongan itu.

Mengenai calon luar dari Kelantan iaitu Ketua Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub yang berasal dari Johor untuk bertanding Parlimen Kubang Kerian, Nik Aziz berkata bukan perkara baru dan yakin pengundi akan memberi sokongan sebagaimana calon-calon luar yang pernah PAS letak sebelum ini.

Ditanya mengenai barisan calon-calon yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) beliau berkata PAS tidak gentar kerana kebanyakan mereka ini menentap di luar Kelantan dan suka menonjolkan sikap kebendaan yang tidak disukai rakyat Kelantan.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008