Monday, October 1, 2007

PAS Edar Manifesto Buktikan Kejayaan Memerintah Di Kelantan

KOTA BAHARU, 14 Mac (Bernama) - PAS Kelantan yang memerintah kerajaan negeri selama tiga penggal sejak pilihan raya 1990, mengemukakan manifesto pilihan raya membabitkan usaha membangunkan 16 perkara yang menyentuh kehidupan seharian rakyat negeri itu.

PAS Kelantan dalam usaha mengekalkan kuasanya turut berjanji untuk memberikan hak dan kebebasan dalam semua aspek kebudayaan dan ekonomi kepada bukan Islam termasuk memberi mereka kebebasan untuk menjalankan kegiatan ekonomi serta tidak menyekat peluang mereka mengumpul kekayaan dan pemilikan harta.

Manifesto 28 muka surat berwarna hijau, warna rasmi parti berwajah Islam itu, bertajuk "Program PAS Negeri Kelantan, Pilihan raya Umum 2004 -- Mengekalkan Kemenangan Kelantan".

Manifesto itu yang dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari Sabtu, mula diedarkan kepada rakyat negeri itu hari Ahad.

Kandungan manifesto itu juga memaparkan kejayaan pemerintahan PAS di Kelantan serta bukti kejayaan dasar pentadbiran parti itu melibatkan program pembangunan yang "telah, sedang dan akan dilaksanakan".

Antara program pembangunan yang didakwa PAS telah berjaya dilaksanakan meliputi ekonomi, agama, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan, sosial, kewangan, keluarga, wanita, industri pertanian serta kejayaan membela bukan Islam dalam tempoh 14 tahun lepas.

Ketika melancarkannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata kandungan buku itu hanya untuk memaparkan bukti kejayaaan PAS memerintah sebuah kerajaan setelah sering diperkecilkan kebolehannya oleh Barisan Nasional (BN).

Katanya kandungan buku itu hanya merupakan perancangan PAS sebagai sebuah kerajaan negeri dan manifesto utama PAS sepanjang masa ialah "Al-Quran dan Hadis".

Anggota Parlimen Kubang Kerian Husam Musa yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat berkata manifesto itu diterbitkan bagi menangkis dakwaan BN bahawa Kelantan mundur di bawah pemerintahan PAS.

Pada kata-kata pendahuluan buku program itu, PAS meminta rakyat Kelantan terus memberi mandat kepada parti "lambang bulan" itu untuk memerintah bagi membolehkan program-program berdasarkan Islam diteruskan.

"PAS adalah suatu jemaah berteraskan Islam yang berjuang di landasan politik Islam dan dakwah. Tujuan penubuhannya bagi memastikan wujud pemerintahan Islam di tanah air kita ini kerana pemerintah Islam wajib ditegakkan," menurut kandungan buku itu.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008