Monday, October 1, 2007

Parti Komponen BN Jgn Pandang Ringan Kajian Sokongan Terhadap PM

BERUAS, 11 Ogos (Bernama) - Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak boleh memandang ringan terhadap dapatan satu kajian mengenai sokongan rakyat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy berkata berdasarkan kajian oleh Merdeka Center for Opinion Research, BN perlu mencari jawapan dan memberi penjelasan terhadap hasil kajian yang mendapati 71 peratus responden menyokong Perdana Menteri manakala 21 peratus lagi tidak menyokong.

"Kita perlu mencari punca tersebut... kita perlu beri penjelasan kerana kita percaya tidak ada perkara yang tidak boleh dijelaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Beruas di sini hari ini.

Khairy merujuk kepada portal berita yang memetik dapatan kajian menerusi telefon yang dilakukan Merdeka Center bagi tempoh seminggu antara 14 hingga 20 Jun terhadap 1,022 responden berumur antara 21 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia, yang mendapati Abdullah secara puratanya memperoleh 71 peratus sokongan manakala 21 peratus lagi tidak menyokong.

Merdeka Center yang berpejabat di Bandar Baru Bangi merupakan satu badan penyelidikan pendapat sekumpulan ahli sains sosial dan profesional dalam bidang ekonomi, sains politik, komunikasi, pengurusan pemasaran dan masyarakat awam.

Naib Ketua Pemuda Umno itu berkata beliau tidak menuduh parti komponen tidak melakukan yang terbaik bagi menjelaskan kepada umum hasil kajian itu, namun berharap mereka meningkatkan usaha sebagai menghadapi pilihan raya umum kelak.

Mengenai hajat PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, beliau menyifatkan bahawa naib presiden parti itu Datuk Husam Musa sebagai `bermimpi' dan sedang `berkhayal'.

"Tidak ada jalan PAS boleh menang kalau kamu tengok sokongan kaum Melayu kepada Perdana Menteri sampai 80 peratus, hendak cari 40 kerusi macam mana?. Saya rasa dia sama ada sudah khayal ataupun sudah gila kuasa... jadi dia keluarkan kenyataan yang memang mengarut," katanya.

Menurut laman web rasmi Parlimen, PAS kini mempunyai enam kerusi di Dewan Rakyat iaitu lima di Kelantan iaitu Tumpat, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian dan satu di Kedah iaitu Pendang.

Dalam perkembangan lain, Khairy menyifatkan perbuatan penuntut Malaysia di Taiwan yang menghina lagu kebangsaan Negaraku sebagai berbahaya.

Beliau berkata Pemuda Umno menganggap tindakan Wee Meng Chee, 24, atau nama samaran Namewee, pelajar Malaysia tahun akhir Komunikasi Am di Universiti Ming Chuan, Taiwan yang menyanyikan Negaraku dalam klip video, menerusi versi ciptaannya sendiri, boleh mencetuskan kemarahan masyarakat majmuk negara ini.

"Sebarang usaha yang boleh menjejaskan kestabilan politik hendaklah diambil tindakan segera. Mungkin ada yang mengatakan bahawa ia satu bahan jenaka Internet tetapi saya khuatir jika bahan ini dilihat dan dimuat turun oleh orang biasa, bahan ini akan keluar dari alam siber dan masuk ke dalam alam realiti," katanya.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008