Monday, October 1, 2007

Gerbang Pembayaran Elektronik Negeri Kelantan

Bismilahirahmanirrahim

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih pengerusi majlis.

Yang Berhormat Dato' Hj. Mohd. Aiseri Hj. Alias
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan

Yang Berhormat Dato' Che Mohd. Ruzima Ghazali
Penasihat Undang-undang Negeri

Yang Berhormat Dato' Hj. Shkori Mohamed
Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berbahagia Dato' Zukry Samat
Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad

Dato' / Tuan / Puan sekalian,

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan dan Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Menteri Besar kita sentiasa mengingatkan akan peri mustahaknya untuk sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja dan kualiti perkhidmatan yang diberikan dari semasa ke semasa. Ini jelas akan keperihatinan dan harapan yang beliau letakkan terhadap jentera pentadbiran negeri yang bertanggungjawab menyusun, merancang dan melaksana strategi pembangunan negeri serta ummah di dalamnya.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi mutu dan produktiviti Perkhidmatan Awam di Negeri ini, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menekankan penggunaan dan perlaksanaan e-kerajaan yang berasaskan teknologi info-komunikasi atau lebih dikenali sebagai ICT dalam Perkhidmatan Awam yang akan menjadi pemudahcara proses-proses Perkhidmatan Awam di Negeri ini.

ICT merupakan salah satu cara bagi negara-negara untuk membangun dan melompat terus ke dalam dunia permodenan tanpa melalui peringkat-peringkat perkembangan yang dialami oleh negara-negara maju. Revolusi digital melalui Teknologi info-komunikasi ini juga merupakan satu ketumbukan atau force yang sangat kuat yang mampu merubah cara hidup dan bagaimana kita melihat dunia.

Ia memberikan kepada kita dan anak-anak kita, akses yang terbuka luas kepada maklumat dan segala ilmu yang ada di dunia ini. Ia juga boleh membantu dalam bidang pendidikan dan perkembangan sains dan teknologi. Ia menjadikan proses kerja menjadi lebih efisyen dan pantas serta lebih murah.

Di seluruh dunia, kerajaan-kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk program e-kerajaan untuk menjangkau dan berhubung dengan rakyat dan orang ramai. Kemunculan internet telah berjaya membolehkan kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan secara interaktif on-line kepada rakyat dan orang ramai pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Secara tidak langsung, penggunaan ICT melalui e-kerajaan dapat meningkatkan keberkesanan dan efisensi di dalam kerajaan serta membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan dapat disalurkan dengan cepat dan diperolehi dengan murah.

Walau bagaimanapun penggunaan ICT memerlukan kepandaian dan kemahiran yang baru, pemikiran yang baru dan perubahan dalam dasar-dasar sosial dan ekonomi. Revolusi maklumat ini membolehkan sesiapa yang sudah mahir akan menjadi lebih mahir dan bergerak maju ke hadapan. Kita perlu memastikan bahawa negeri kita ini tidak ketinggalan dalam perkara ini.

Adalah objektif Kerajaan melalui e-kerajaan akan dapat memberikan perkhidmatan dan proses pemerintahan/tadbir urus (governance) secara on-line. Iaitu untuk mewujudkan sebuah Perkhidmatan Awam yang benar-benar efisien, efektif dan responsive serta dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri disamping memperkenalkan satu budaya kerja yang lebih berkesan dan produktif melalui perkhidmatan elektronik yang bebas dari kertas (Paperless Administration).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Walaupun Perkataan e-kerajaan sering didengari dan diperkatakan, akan tetapi konsep atau pemahaman e-kerajaan atau Kerajaan Elektronik ini selalunya dilihat dari satu kacamata yang terhad. Konsep pemahaman selalunya tertumpu kepada 'Electronic Service Delivery' dan kepada isu-isu seperti keselamatan data, reliabiliti ataupun akses kepada maklumat yang pada umumnya tertumpu kepada infrastruktur 'Information Society'.

Ini tidaklah menghairankan kerana isu-isu berasingan demikian adalah lebih senang difahami jika dibandingkan dengan perspektif sebenar e-kerajaan yang lebih meluas iaitu penggunaan teknologi maklumat untuk membantu tindakan-tindakan dan proses-proses pentadbiran awam dan pemerintahan ataupun governance.

Penggunaan e-kerajaan sepenuhnya memerlukan pemahaman yang meluas dan memerlukan reengineering kesemua proses-proses pengurusan perkhidmatan awam, peraturan-peraturan dan dasar-dasar.

Perlaksanaan sepenuhnya e-kerajaan memerlukan kita melihat dari segi interaksi awam dengan kerajaan melalui pengurusan capaian berintegrasi dan perkhidmatan 'single window', proses reengineering melalui rekabentuk semula organisasi atau redesigning organization; dan kerjasama yang sangat rapi dan rapat di antara semua agensi kerajaan melalui collaborative decision making.

Pada hemat saya, potensi e-kerajaan tidak dapat dipersoalkan. Jika ia dapat dilaksanakan sepenuhnya, ianya boleh digunakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam di dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan perniagaan. Ianya akan dapat menyumbangkan kepada perkembangan dan pembangunan ekonomi. Ianya juga akan dapat membantu negara ini melompat terus ke arah tahap perkembangan negara-negara yang sudah maju.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Salah satu aspek yang perlu diberi penekanan bagi perlaksanaan e-kerajaan ini adalah pengemaskinian terhadap sistem proses dan prosedur kerja. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan kerja yang bertindan dan seterusnya mempercepatkan proses membuat keputusan atau decision-making.

Dalam melaksanakan projek-projek e-kerajaan ini, Perkhidmatan Awam haruslah sentiasa bersifat dinamik dan terbuka terhadap keadaan semasa bagi membolehkan ianya memainkan peranan yang penting dalam membawa peralihan paradigma dan perubahan minda serta sikap yang positif dalam menghadapi arus modenisasi dan kesan globalisasi yang rancak berjalan pada ketika ini.

Hadirin Sekalian,

Dalam melaksanakan projek-projek e-kerajaan, Kerajaan Negeri telah meluluskan satu jumlah peruntukan yang cukup besar bagi membangunkan satu aplikasi perdana dalam e-kerajaan Negeri Kelantan iaitu Sistem Perakaunan Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) dan Sistem Pembayaran Secara Elektronik atau ePayment. Tujuan utama perlaksanaan SPBT dan ePayment ini adalah untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan memberi kemudahan kepada rakyat. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan dan memperkemaskan kutipan data dalam bentuk digital serta memudahkan pencapaian maklumat.

Aplikasi seumpama ini merupakan salah satu strategi kerajaan untuk membawa perubahan baru iaitu e-transformasi terhadap sektor ekonomi Negeri Kelantan. Secara tidak langsung, perkhidmatan e-Kerajaan yang akan diperkenalkan ini dapat mempromosi ICT secara agresif di kalangan masyarakat kita. Aplikasi ini juga adalah berdasarkan kepada imbangan teknologi antara kapasiti dan kapabiliti dalam membangunkan hubungan interaksi dengan pengguna secara digital.

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia juga telah meluluskan penstrukturan semula jawatan operator telefon kepada Pegawai Khidmat Pelanggan Untuk melengkapkan penstrukturan tersebut Pentadbiran Kerajaan Negeri telah mengambil langkah mewujudkan Sistem Aduan Secara Online bagi kegunaan mereka yang mana sistem ini telah dibangunkan secara dalaman atau in-house.

Dato' / Tuan / Puan Sekalian,

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Dato' SUK dalam ucapan beliau tadi, pada petang yang berbahagia ini, kita akan melancarkan dua sistem iaitu ePayment dan eAduan Kelantan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif e-kerajaan Negeri Kelantan. Antara perkhidmatan utama ePayment adalah kemudahan pembayaran yang membenarkan pengguna membuat sebarang transaksi pembayaran hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Manakala eAduan Kelantan menyediakan saluran perkhidmatan kemudahan membuat sebarang aduan oleh rakyat negeri ini.

Di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini dan semua rakyat Negeri Kelantan supaya menggunakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang kita telah sediakan ini. Kita tidak mahu projek-projek yang kita laksanakan dan akan laksanakan menjadi Projek Gajah Putih di kemudian hari. Walaubagaimanapun, saya percaya walaupun tahap Jurang Digital di Negeri Kelantan ini agak tinggi berbanding negeri-negeri lain, orang ramai khususnya rakyat Negeri Kelantan akan menyahut seruan ini dan memanfaatkan kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan dalam kehidupan harian.

Hadirin,

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Dato' SUK kerana berjaya melaksanakan kedua-dua sistem ini dengan jayanya dalam tempoh masa yang dijanjikan. Tahniah.

Akhir kata, saya dengan lafaz bismilahrrahmanirrahim, melancarkan Sistem Pembayaran Secara Elektronik dan eAduan Kelantan.

Sekian. Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. (ePayment, Kelantan)

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008