Monday, October 1, 2007

CCTV Pejabat Menteri Besar Tidak Berfungsi, Penceroboh Sukar Dikesan

KOTA BAHARU, 21 Mei (Bernama) - Kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim termasuk pejabat Menteri Besar tidak berfungsi, menyebabkan polis sukar mengesan penceroboh yang terbabit dalam kejadian Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mazlan Lazim berkata CCTV perlu berfungsi dengan baik kerana perkara itu penting terutamanya jika berlaku sebarang masalah di pejabat utama kerajaan seperti pencerobohan melibatkan bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Besar dan Exco-Exco di Blok 1 Kompleks Darul Naim.

"Dalam kes melibatkan Kompleks Darul Naim, polis sukar mengesan penceroboh berikutan CCTV yang ada di pejabat berkenaan tidak berfungsi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kakitangan Penjara Zon Timur di sini, hari Isnin.

Mazlan berkata setakat ini polis sudah melakukan soal siasat terhadap beberapa polis bantuan dan kontraktor yang bertugas di kompleks berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Cap jari yang diambil di beberapa tempat dalam pejabat yang diceroboh itu juga sudah diambil dan dihantar ke Bukit Aman untuk dianalisis," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut pusat pentadbiran kerajaan di Kompleks Kota Darul Naim Blok 1 yang menempatkan pejabat beberapa Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dimasuki pencuri.

Selain Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat Datuk Anuar Tan Abdullah dimasuki pencuri, pejabat pentadbiran Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Datuk Husam Musa serta pejabat pentadbiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Hassan Mahmood turut berselerak.

Bagaimanapun tiada dokumen penting kerajaan yang hilang kecuali pencuri melarikan wang tunai kira-kira RM3,000 dan sekeping cek kerajaan RM33,000.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008