Monday, October 1, 2007

Calon Bukan Anak Jati Tidak Diterima Di Kubang Kerian

KUBANG KERIAN, 15 Mac (Bernama) - Keputusan PAS meletakkan calon yang bukan anak jati Kelantan bertanding di kawasan parlimen Kubang Kerian menimbulkan protes dan kekecewaan di kalangan penyokong mereka sendiri.

Ketua Penaja Umno Bahagian Kubang Kerian Datuk Ahmad Rusli Iberahim berkata, kehadiran Ketua Pemuda PAS Pusat Salahuddin Ayub untuk bertanding di kawasan Parlimen Kubang Kerian telah menimbulkan kekecewaan dan bantahan di kalangan penyokong PAS sendiri.

"Kekecewaan sudah mula ada di kalangan penyokong PAS sendiri kerana calonnya (PAS) bukan rakyat Kelantan. Protes ada, kebetulan pula wakil rakyat sedia ada tidak menjalankan tugas," katanya ketika berceramah di Kedai Lalat di sini Ahad malam.

Beliau turut memaklumkan hadirin berhubung kelebihan yang bakal dinikmati rakyat Kelantan menerusi manifesto tambahan khas BN untuk Kelantan bertemakan "Membina Kelantan Gemilang" yang mengandungi 11 perkara meliputi kepentingan seluruh golongan masyarakat di negeri ini.

Manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad di sini semalam akan dilaksanakan apabila BN memerintah Kelantan selepas pilihan raya 21 Mac ini.

Antara kandungan manifesto itu ialah memansuhkan semua cukai pintu dan tanah yang tertunggak, penyemakan semula elaun imam dan guru agama, penubuhan Universiti Kelantan dan menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kepada lapangan terbang antarabangsa.

Ahmad Rusli meminta pengundi Kelantan untuk menerima tawaran manifesto BN itu yang mampu membawa banyak kebaikan dan pembangunan di negeri itu.

"Memang rakyat Kubang Kerian sudah dapat menilai dan inilah masa yang paling sesuai untuk kita buat perubahan," katanya lagi.

Pada pilihan raya lepas, calon PAS, Husam Musa menang dengan majoriti 16,091 undi menewaskan calon BN Zaleha Hussin.

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008